Monday 26 October 2015

Kebodohan adalah sebahagian daripada kebijaksanaan.

Begitu yang dia rasakan ketika ini. Ketika dia percaya, sebenarnya dia sangat curiga. Ketika dia berkata, "Ya." Sebenarnya dia enggan terima. Kebodohan sengaja dibiarkan untuk dilihat setia atau memang setia untuk diperbodohkan?

Friday 19 June 2015

Perempuan yang Minum Racun dan Penawar Sekali Gus

Lama dia menunggu jawapan dari lelaki itu. Seperti menunggu bulan yang cemerlang tatkala mendung meliputi awan dan langit.

Semalam, dia dingin. Sengaja. Ada beberapa hal yang ingin dia sampaikan tapi lelaki itu umpama angin. Sesekali mendinginkan. Sesekali menyegarkan. Tatkala dia meminta lebih, lebih sedikit daripada biasa, lelaki itu terus pergi seperti angin juga. Terasa tapi tak mampu disentuh. Adakah dia tidak layak meminta? Jika permintaannya didengari pun, itu hanyalah kerana lelaki itu sedang menginginkan dirinya. Yang dia tahu, dia selalu memberi tanpa had. Memberi tanpa diminta. Malah selalu juga memberi walaupun ditolak.

Hari ini pula, dia hanyut walaupun dia sudah memberitahu yang dia tak pandai berenang dan tak mahu berenang pada waktu ini. Tapi, huluran tangan sang lelaki amat mencairkan tembok yang sedang dia bina - tembok keikhlasan.

Dia semakin faham kini, harapan yang sedang dia bina mungkin perlu dihapuskan segera sebelum harapan itu membentuk kekecewaan demi kekecewaan. Dia manusia. Punya batas masa dan ruang. Dia tak mahu merugikan nafasnya demi membina harapan yang dia sendiri tidak yakin.

Ditangan kirinya kini ada racun. Dia minum. Di tangan kanannya pula  tergenggam sebotol penawar. Dia minum. Dia membiarkan racun dan penawar itu berkelahi dalam diri. Dan sekarang, dia hanya perlu menjadi dirinya.

Lelaki itu, takkan dibenarkan mematungkan kewanitaannya. Dia cuba untuk memilik jalan lain dengan kaki kayunya. Biarlah kali ini lelaki itu marah kerana kaki kayunya melahirkan bunyi yang bising ketika melangkah. Kerana dia sudah lelah menanggalkan kaki kayunya lantas melangkah tanpa kaki sehingga luka pun lahir dari setiap titik bayangnya sendiri.

Monday 1 June 2015

Perempuan Berkasut Kayu

1

Dia berketuk lagi. Bukan jemarinya yang mengetuk-ngetuk meja seperti biasa. Bukan juga bunyi ketukan pen pada gelas yang kosong. Aku melihat sekeliling tanpa tujuan. Aku juga menajamkan telinga untuk mengenalpasti arah bunyi ketukan yang sedikit meresahkan jiwa itu.

Sambil matanya masih merenung tajam meminta jawapan daripadaku, bunyi ketukan itu muncul lagi. Lebih laju daripada tadi. Aku resah. Sedikit rimas dan geram. Tapi tak tahu mahu dihamburkan kepada siapa - atau lebih tepat ... apa.

Sebetulnya, aku tiada jawapan untuk renungan itu. Malah, aku juga enggan menjawab buat masa ini. Segala soalan yang dia lontarkan sebentar tadi - semasa bunyi itu belum muncul - tidak perlu aku jawab kerana ... kerana jawapannya memang tiada.

Ketukan itu bertambah laju. Matanya meminta jawapan, memaksa penjelasan. Dingin udara selepas hujan benar-benar tidak membantu aku berfikir dengan waras.Kopi di atas meja sudah sejuk. Walaupun aku bukan jenis manusia yang kisah fasal panas-sejuk minuman yang dihidangkan, tapi petang ini aku tidak bernafsu menikmati kopi yang sudah tiada wap panas dan aroma wanginya kopi sudah dicuri angin dingin yang datang melalui celah tingkap di sisi tempat dia duduk merenungku itu.

Aku kehilangan ghairah untuk berkopi mahupun bercakap-cakap tentang apapun. Ketukan itu benar-benar membunuhku. Membunuh ghairahku untuk berkongsi cerita dengannya petang ini. Keinginanku seolah-olah ditikam bertubi-tubi oleh ketukan misteri itu.